KUALA LUMPUR: Pendekatan Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang memberi perhatian kepada pembangunan serta pendedahan generasi muda dilihat sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang terhadap masa depan parti dan negara.
Menurut Engku Tan Ariffudean bin Che Wan Muhamad Fadli dari Kelab UMNO Luar Negara United Kingdom (UK), usaha membina generasi muda tidak boleh dinilai berdasarkan pulangan politik dalam tempoh singkat.
“Kita kena melihat kepada generasi muda dan bangsa ini sebagai satu pelaburan untuk jangka masa panjang.”
“Ruang dan peluang yang diberikan kepada golongan muda penting supaya mereka dapat memahami sendiri dunia politik, kepimpinan serta tanggungjawab yang bakal dipikul oleh generasi mereka”, beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Dalam konteks itu, beliau melihat pendekatan Wan Rosdy yang memberi ruang kepada anak muda mendapat pendedahan sebagai sesuatu yang positif dan perlu diteruskan.
“Saya rasa Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri melihat perkara ini sebagai satu pelaburan kepada generasi muda.” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau berpandangan UMNO perlu lebih dekat dengan pemikiran generasi baharu termasuk memahami kecenderungan mereka terhadap isu agama.
Menurutnya, agama mempunyai kekuatan untuk menyatukan masyarakat dan perkara itu boleh menjadi antara pendekatan penting dalam usaha UMNO mendekati generasi muda.
Beliau turut melihat peranan Majlis Ulama UMNO sebagai antara platform yang boleh diperkasakan dalam membawa pendekatan berteraskan agama kepada generasi baharu.
Kehadiran mahasiswa melalui Kelab UMNO Luar Negara pada PAU 2026 turut membuka ruang kepada suara generasi muda Malaysia yang menuntut di luar negara untuk diketengahkan dalam menentukan hala tuju parti pada masa hadapan.-JELAIPOST