KUANTAN, 26 November – Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menafikan laporan Arus Malaysia yang mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) dan gabungan politik bersama PAS.
Beliau menegaskan bahawa laporan berkenaan adalah salah dan tidak menggambarkan kenyataan sebenar yang disampaikan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini. Apa yang ditulis oleh Arus Malaysia adalah salah dan tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Merujuk kepada Hansard Dewan, Wan Rosdy menjelaskan bahawa beliau hanya menjawab pertanyaan ADUN Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kemungkinan pembubaran DUN Pahang.
“Yang Berhormat Dato’ Sri Speaker, setakat ini belum ada apa-apa perancangan. Setakat hari ini…,” demikian jawapan beliau sebagaimana dipetik daripada Hansard Dewan.
Petikan berkenaan tidak mengandungi sebarang kenyataan mengenai gabungan politik dengan PAS mahupun pendirian untuk terus bersama Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, Wan Rosdy meminta Arus Malaysia supaya segera menurunkan laporan berkenaan dan membuat pembetulan terhadap berita yang disiarkan.-JELAIPOST