Berita

Pahang Kutip RM80.23 Juta Hasil Mineral, Perkasa Industri Hiliran

Kongsi
Pahang Kutip RM80.23 Juta Hasil Mineral, Perkasa Industri Hiliran

KUANTAN, 26 NOV – Kerajaan Negeri Pahang merekodkan kutipan hasil sebanyak RM80.232 juta daripada aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral sepanjang tahun 2025.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri kini memberi penekanan kepada pembangunan industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah sumber mineral tempatan, sekali gus memperkukuh sektor pembuatan negeri.

”Pahang merekodkan kutipan hasil sebanyak RM80.232 juta daripada aktiviti perlombongan dan pengeluaran mineral sepanjang tahun 2025.

“Dalam usaha meningkatkan nilai tambah sumber mineral, Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada pembangunan industri hiliran sebagai salah satu sektor strategik untuk memperkukuh sektor pembuatan dan menjana pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Lanchang, Hasan Omar pada Persidangan Dewan Negeri Pahang, hari ini.

Antara pelaburan utama dalam sektor berkenaan ialah Alliance Steel (M) Sdn. Bhd. di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Gebeng yang melibatkan pelaburan asal sekitar RM5.6 bilion.

Kilang berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 3.5 juta tan setahun dan menyasarkan peningkatan kepada 10 juta tan setahun menerusi projek peluasan.

Kerajaan Negeri turut meluluskan cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan di Gebeng dengan nilai pelaburan sekitar RM1 bilion.

Dalam industri emas pula, Pahang Gold Sdn. Bhd., anak syarikat Pahang Mining Corporation, sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas.

Pada tahun 2024, sektor pembuatan menyumbang RM14.5 bilion atau 21.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang.

“Sumber mineral negeri perlu dimanfaatkan sebaiknya, bukan sekadar dijual sebagai bahan mentah, tetapi diproses menjadi produk bernilai tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan, merancakkan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat Pahang,” katanya.

Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam industri pemprosesan serta pengilangan produk berasaskan mineral. – JELAI POST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.