Berita

Pahang Peruntuk RM108.74 Juta Perkasa Pendidikan, Masa Depan Anak Muda

Kongsi
Pahang Peruntuk RM108.74 Juta Perkasa Pendidikan, Masa Depan Anak Muda

Oplus_16908288

KUANTAN, 29 NOV – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM108.74 juta menerusi Belanjawan Pahang 2027 bagi memperkasa pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pembangunan modal insan.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja (Dr.) Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam pembangunan negeri bagi melahirkan rakyat berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kita tidak mahu ada anak Pahang yang terpaksa melupakan cita-cita hanya kerana kekangan kewangan. Jika mereka mempunyai kemampuan dan kesungguhan, kita mahu mereka diberikan peluang untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Konvokesyen 2026 UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang yang meraikan 584 graduan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

Menurut beliau, pada tahun ini sahaja, sebanyak RM75 juta disediakan menerusi Yayasan Pahang, termasuk RM24 juta bagi pemberian biasiswa kepada 50,000 pelajar sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, mulai tahun 2027, bantuan mahasiswa turut ditingkatkan daripada RM400 kepada RM500 secara sekali bayar, melibatkan peruntukan RM10 juta yang bakal memanfaatkan 20,000 mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam aspek kebolehpasaran graduan, seramai 47 anak Pahang yang menamatkan latihan teknikal di China telah menerima tawaran pekerjaan daripada Malaysia Rail Link (MRL).

“Pendidikan dan latihan bukan sekadar untuk mendapatkan sijil, tetapi mesti membuka peluang pekerjaan dan menjamin masa depan,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Pro Canselor UCYP University turut memaklumkan bahawa UCYP University dan Kolej Yayasan Pahang telah berjaya melahirkan lebih 33,000 graduan sehingga kini.

Beliau berharap kerjasama antara kerajaan negeri, institusi pendidikan dan pihak industri terus diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang, khususnya yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.