Foto: Farizul Awang
KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh terus selesa sekadar menjadi parti yang menentukan cukup atau tidak angka untuk membentuk kerajaan, sebaliknya perlu kembali menjadi kekuatan politik yang menentukan agenda dan hala tuju negara.
Jurucakap UMNO Pahang, Datuk Abu Jimi Samat berkata, kedudukan UMNO dalam landskap politik semasa perlu dimanfaatkan untuk membina semula kekuatan parti, bukan sekadar menjadi ‘king maker’ yang dicari apabila pihak tertentu memerlukan sokongan.
“UMNO mesti kembali menjadi ‘agenda maker’ dan bukan sekadar ‘king maker’ yang hanya diperlukan apabila pihak lain memerlukan sokongan atau angka kerusi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, pada Sabtu.
Kenyataan itu membawa mesej jelas bahawa masa depan UMNO tidak boleh bergantung kepada percaturan politik parti lain.
Sebaliknya, UMNO perlu kembali berada pada posisi menentukan bentuk kerjasama, dasar serta agenda yang mahu dibawa kepada rakyat, khususnya ketika parti sedang membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Selepas PRU15, UMNO dan Barisan Nasional berada dalam kedudukan politik yang unik apabila kekuatan kerusi mereka menjadi antara faktor penting dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Namun bagi Abu Jimi, nilai politik UMNO tidak sepatutnya hanya diukur berdasarkan kemampuan melengkapkan angka majoriti.
Sebaliknya, kekuatan sebenar parti perlu diterjemahkan melalui keupayaan menentukan naratif, memperjuangkan kepentingan rakyat dan membentuk dasar yang mempunyai identiti jelas UMNO.
Dalam konteks itu, UMNO juga berdepan tuntutan untuk membuktikan bahawa parti tersebut masih memiliki kekuatan akar umbi, pengalaman pentadbiran dan jaringan politik yang mampu menjadikannya kembali sebagai kuasa utama politik negara.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada UMNO masih diperlukan dalam pembentukan kerajaan, tetapi sama ada UMNO mampu kembali berada di hadapan dan memimpin percaturan politik negara.
PAU 2026 dilihat menjadi medan penting bagi UMNO memperkemas strategi menjelang PRU16, termasuk menentukan kedudukan parti dalam kerjasama politik sedia ada serta memperkukuh semula sokongan pengundi tradisi.
Mesej Abu Jimi itu sekali gus memberi peringatan bahawa UMNO tidak boleh hanya menunggu ruang diberikan oleh pihak lain.
Sebaliknya, parti itu perlu kembali mencipta ruang, menentukan agenda dan memastikan setiap kerjasama politik memberi kekuatan kepada UMNO serta manfaat kepada rakyat.-JELAIPOST