KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mendesak Eric See-To memohon maaf secara terbuka selepas komennya mengaitkan perkataan “lighad” dengan “liwat” disifatkan mempermainkan ayat al-Quran.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, menyifatkan tindakan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional itu sebagai melampau dan menyatakan laporan polis akan dibuat.
kontroversi itu berpunca daripada komen See-To terhadap istilah dalam pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Yang saya tengok ialah ada ‘Lighad’ yang saya langsung tak tahu apa itu. Tapi tak ada ‘Liwat’ pula,” tulis See-To.
Perkataan “lighad” berkenaan merupakan sebahagian daripada ayat ke-18 Surah al-Hashr yang dipetik dalam ucapan tersebut.
Akmal menegaskan perselisihan politik tidak sepatutnya sampai ke tahap memperlekeh ayat suci.
See-To bagaimanapun menafikan menghina al-Quran. Beliau menjelaskan komennya merujuk kepada senarai perkataan unik dalam ucapan Anwar yang disiarkan Sinar Harian.
Beliau turut mempertikaikan penggunaan istilah yang menurutnya sukar difahami orang awam, namun Akmal tetap menuntut permohonan maaf secara terbuka.-JELAIPOST