Foto: Farizul Awang
KUALA LUMPUR: UMNO perlu berani berubah bagi menghadapi realiti politik baharu menjelang PRU16, namun perubahan itu tidak boleh sehingga memutuskan parti daripada akar perjuangannya.
Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata parti itu telah melalui pelbagai zaman dan mengharungi pelbagai gelombang politik.
Katanya, setiap cabaran membawa pengajaran dan perjuangan yang mahu terus hidup mesti berani berubah tanpa kehilangan jiwanya.
“Kita boleh menukar arah. Kita boleh mengubah haluan. Kita boleh mencari jalan yang baharu.
“Tetapi jangan sekali-kali kita memutuskan tali yang mengikat kita kepada perjuangan,” katanya.
Wan Rosdy berkata kekuatan UMNO tidak hanya terletak kepada struktur atau kepimpinannya, sebaliknya kepada akar perjuangan yang menghubungkan parti dengan rakyat dan bangsa.
“Akar UMNO ialah perjuangan. Akar UMNO ialah rakyat. Akar UMNO ialah bangsa,” katanya.
Menurutnya, menjelang PRU16, UMNO mesti memilih untuk berubah supaya perjuangannya terus relevan dan mampu memberikan manfaat kepada rakyat.
“Kita mesti berubah.
“Bukan berubah meninggalkan perjuangan, tetapi berubah supaya perjuangan terus hidup.
“Bukan berubah memutuskan akar, tetapi berubah supaya pohon perjuangan terus tumbuh, semakin kukuh dan semakin memberi teduh kepada rakyat,” katanya.
Beliau kemudian menyeru seluruh keluarga besar UMNO merapatkan saf, mengukuhkan Rumah Bangsa dan menggerakkan Gelombang Biru.
“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT, UMNO akan bangkit.
“Bukan sekadar untuk kembali berkuasa, tetapi untuk kembali berbakti, memimpin dan memperjuangkan masa depan rakyat dan negara,” katanya. -JELAIPOST