KUALA LUMPUR: Kepimpinan UMNO di peringkat bahagian dan cawangan digesa membuka ruang lebih besar kepada generasi muda yang telah membuktikan kemampuan mereka untuk turut berada dalam kepimpinan parti.
Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata usaha membina masa depan UMNO tidak boleh hanya tertumpu kepada mereka yang memimpin parti hari ini.
Sebaliknya, UMNO perlu mula menentukan dan membentuk generasi yang bakal menggantikan kepimpinan sedia ada.
“Kita mesti fikir, siapakah yang akan berdiri menggantikan kita nanti.
“Kerana itu, kita mesti bina kepimpinan pelapis dari sekarang,” katanya.
Menurut Wan Rosdy, Sekolah Patriotik UMNO (SPU) yang ditubuhkan pada Januari 2025 setakat ini telah melahirkan 278 pemimpin muda menerusi lima siri Patriot, dengan siri keenam bakal menyusul.
Katanya, kemampuan generasi itu bukan sekadar dibuktikan dalam bilik latihan, malah di medan pilihan raya.
Di PRN Johor, 100 Patriot digerakkan di 50 DUN, termasuk menyantuni 18,529 pengundi kali pertama secara bersemuka serta menghubungi 10,341 lagi melalui call centre.
Di Negeri Sembilan pula, 50 Patriot digerakkan untuk menemui 13,267 pengundi secara bersemuka dan 7,276 secara dalam talian di 25 DUN.
Justeru, Wan Rosdy mahu sumbangan itu diterjemahkan kepada peluang sebenar dalam struktur parti.
“Berikan mereka tempat. Berikan mereka ruang. Berikan mereka peluang,” katanya.
Menurutnya, suara anak muda perlu didengari, idea mereka diketengahkan dan mereka dilibatkan dalam serta proses membuat keputusan parti. -JELAIPOST
Satu ulasan