Politik

PRU16: PAHANG TELITI BN-PN, BN-PH ATAU BERGERAK SOLO

Kongsi
PRU16: PAHANG TELITI BN-PN, BN-PH ATAU BERGERAK SOLO

KUALA LUMPUR: Tiga kemungkinan jajaran politik BN-PN, BN-PH atau bergerak secara solo sedang diteliti di Pahang sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Mendedahkan perkara itu, Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pilihan berkenaan dibincangkan dalam satu retreat yang diadakan di Pahang.

Menurut beliau, pelbagai pertimbangan perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan mengenai jajaran politik dibuat.

“Ada tiga cadangan dikemukakan iaitu sama ada BN-PN, BN-PH, atau bergerak secara solo. Banyak pertimbangan yang diambil kira,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Wan Rosdy berkata Pahang akan menentukan jajaran yang paling sesuai berdasarkan demografi politik negeri apabila tiba masanya.

“Insya-Allah, apabila tiba masanya nanti, Pahang akan menentukan jajarannya yang sesuai dengan demografi politik di Pahang, demi kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi isyarat bahawa Pahang tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa.

“Kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. ‘Biar lambat asalkan selamat’, kerana yang kita pertaruhkan bukan kepentingan satu pihak, tetapi masa depan negeri dan rakyat Pahang,” katanya. 

Kenyataan itu hadir ketika UMNO sedang meningkatkan persediaannya menuju PRU16, dengan Wan Rosdy sendiri mengingatkan bahawa cabaran pilihan raya akan datang berbeza mengikut negeri, kawasan dan pertimbangan pengundi. -JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.