KUANTAN, 13 Oktober – Seramai 209 pelajar yang menamatkan latihan kemahiran dalam bidang perkeretaapian dijangka diserap bekerja di stesen-stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, jumlah itu melibatkan lepasan latihan Universiti UCYP (UCYP) dan Pahang Skills.
Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, seramai 48 pelajar UCYP telah berjaya menamatkan latihan di China sebagai persediaan memenuhi keperluan tenaga kerja sektor pengangkutan rel.
“Kalau dicampur dengan Pahang Skills, saya difahamkan 209 pelajar telah menamatkan pengajian dan mereka semua ini akan diserap masuk oleh Malaysia Rail Link untuk bekerja di stesen-stesen ECRL,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Arteka Lanternia 2026 anjuran UCYP di Hotel Grand DarulMakmur, di sini, Ahad lalu.
Mohamad Nizar berkata, Kerajaan Negeri mahu peluang pekerjaan yang diwujudkan menerusi ECRL dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat tempatan, khususnya anak Pahang.
“Inilah yang kita nak sebenarnya, semua pekerjaan yang melibatkan tujuh stesen ECRL di Pahang diisi oleh anak-anak tempatan, anak-anak Pahang,” katanya.
Penyediaan tenaga kerja berkemahiran itu turut mencerminkan usaha Kerajaan Negeri memastikan pembangunan ECRL bukan sekadar menyediakan kemudahan pengangkutan moden, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menerusi kerjasama institusi latihan tempatan dan pemain industri, lebih ramai belia berpeluang membina kerjaya dalam sektor rel, seiring persediaan ECRL memasuki fasa operasi.-JELAIPOST