Berita

13,500 Akaun Terjejas, Bekalan Air Terputus 12 Jam di Kuantan Esok

Kongsi
13,500 Akaun Terjejas, Bekalan Air Terputus 12 Jam di Kuantan Esok

KUANTAN, 13 Oktober – Sebanyak 13,500 akaun pengguna di sekitar Indera Mahkota dan beberapa kawasan lain di Kuantan bakal mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam esok (14 Oktober).

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu notis memaklumkan, gangguan berjadual itu melibatkan pemotongan sementara bekalan air bagi membolehkan kerja-kerja penyambungan paip dan sistem elektrik dilaksanakan di Rumah Pam Bandar Indera Mahkota.

Antara kawasan terlibat ialah seluruh Indera Mahkota 7 hingga 16, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mahkota Heights, KotaSAS, Bukit Istana, Kolej Profesional MARA (KPM) Indera Mahkota, Kampung Padang dan Taman Impian.

Gangguan turut melibatkan Kuarters Rumah Pam KOBAT, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bukit Kuin, Batu Sawar, Bukit Bangkong serta kawasan sekitarnya.

Menurut PAIP, kerja berkenaan melibatkan penyambungan paip hantaran baharu bersaiz DN700 kepada paip sedia ada di Rumah Pam Bandar Indera Mahkota.

Selain itu, kerja penyambungan bekalan elektrik daripada pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada sistem kawalan dan panel pam air bersih turut dilaksanakan.

Sehubungan itu, PAIP menasihatkan pengguna di semua kawasan terlibat supaya menyimpan bekalan air secukupnya bagi menghadapi tempoh gangguan tersebut.

Pengguna juga diminta merancang penggunaan air lebih awal memandangkan bekalan dijadualkan terputus sepanjang tempoh kerja berkenaan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.