Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
MARAN, 28 Ogos – Projek penggantian paip di beberapa kawasan di daerah Maran bernilai RM11.72 juta berjaya disiapkan 91 hari lebih awal daripada jadual, sekali gus membolehkan penduduk menikmati bekalan air yang lebih stabil dengan lebih cepat.
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek melibatkan Kampung Serengkam, Ulu Luit, Chenor, Ulu Jempul dan Kampung Pejing itu membuktikan komitmen semua pihak dalam mempercepat pelaksanaan projek demi rakyat.
“Apabila kita dapat siapkan lebih awal, rakyat juga dapat menikmati manfaatnya lebih awal,” katanya ketika merasmikan dan menerima penyerahan projek itu di Loji Rawatan Air Chenor, hari ini.
Beliau berkata, bekalan air ialah keperluan asas dan isu gangguan bekalan bukan sekadar masalah teknikal, sebaliknya amanah kerajaan kepada rakyat.
Menurutnya, Transformasi Air Pahang yang dilaksanakan sejak 2021 menyasarkan penyelesaian 90 peratus kawasan masalah bekalan air atau blackspot di seluruh negeri menjelang akhir tahun ini.
Wan Rosdy berkata, beberapa daerah termasuk Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Kuantan telah mencapai sasaran berkenaan, manakala Maran turut menunjukkan perkembangan positif khususnya di Kampung Awah, Tajau dan Sri Jaya.
Beliau turut menggesa Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terus memperkukuh sistem bekalan air melalui penggantian paip usang, pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW), penggunaan teknologi pemantauan serta pendekatan pencegahan sebelum kerosakan berlaku.
“Kalau rakyat senang, kita berjaya. Kalau masalah rakyat dapat diselesaikan, kita berjaya,” katanya.JELAIPOST