Berita

PMU 500kV Kampung Awah perkukuh grid tenaga Pantai Timur, tingkat keyakinan pelabur

Kongsi
PMU 500kV Kampung Awah perkukuh grid tenaga Pantai Timur, tingkat keyakinan pelabur

Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

MARAN – Projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV Kampung Awah dijangka memperkukuh sistem bekalan tenaga di Pahang serta menyokong keperluan industri masa hadapan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan bukan sekadar pembangunan infrastruktur tenaga, sebaliknya pelaburan jangka panjang bagi mempertingkat keupayaan sistem tenaga dan asas pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan tapak Projek PMU 500kV Kampung Awah di sini, hari ini.

Menurutnya, PMU Kampung Awah merupakan antara nod strategik dalam pembangunan rangkaian 500kV National Grid Backbone sepanjang kira-kira 500 kilometer yang dijangka siap pada 2030.

“Rangkaian ini akan menghubungkan lokasi strategik di Pantai Timur, sekali gus membentuk sistem tenaga yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersedia memenuhi keperluan masa hadapan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, pengukuhan grid itu akan meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong pertumbuhan sektor bernilai tinggi termasuk pusat data, elektrik dan elektronik (E&E), serta industri hijau.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran akan terus memudah cara urusan tanah projek mengikut peraturan berkuat kuasa.

Beliau turut memaklumkan prestasi System Average Interruption Duration Index (SAIDI) TNB di Pahang bertambah baik daripada 51.52 minit pada separuh pertama 2025 kepada 49.71 minit bagi tempoh sama tahun ini.

Katanya, peningkatan itu mencerminkan usaha berterusan TNB untuk memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan berdaya harap kepada rakyat serta sektor ekonomi.

Beliau berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri, TNB dan semua pihak berkepentingan dapat terus diperkukuh demi menjayakan projek berkenaan serta membuka lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat Pahang.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.