KUANTAN, 12 Oktober 2026 – Semua sekolah di daerah Kuantan dan Rompin diarahkan tutup esok, 13 Oktober, susulan keadaan jerebu yang terus menjejaskan kualiti udara di kedua-dua daerah berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini mengumumkan penutupan tersebut yang turut melibatkan sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya serta beberapa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor.
Bagaimanapun, sekolah di daerah lain di Pahang akan beroperasi seperti biasa.
Keputusan itu dibuat ketika beberapa kawasan di Kuantan dan Rompin terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Balok Baru, Kuantan merekodkan IPU 162, Rompin 157 dan Indera Mahkota, Kuantan 130 setakat jam 10 pagi tadi.
Ketiga-tiga kawasan itu berada dalam kategori tidak sihat apabila bacaan IPU melebihi 100.
Situasi jerebu yang berterusan turut menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan murid, khususnya mereka yang mempunyai masalah pernafasan serta penyakit berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut menyarankan supaya murid yang tinggal di asrama kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan sekolah, selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.
Langkah itu bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak sekiranya penutupan sekolah berlaku secara berulang.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengikuti perkembangan bacaan IPU melalui portal rasmi APIMS.-JELAIPOST
Satu ulasan