KUANTAN: Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills) terus memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi apabila 15 belia daripada golongan asnaf dan B40 berjaya memperoleh pekerjaan sebagai Penolong Pemandu Tren ECRL.
Kesemua peserta itu mengikuti Program Peningkatan Kemahiran Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) sebelum menjalani latihan intensif selama lima bulan di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Pahang Skills, RHB Islamic Bank Berhad, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (ECRL) Sdn Bhd.
Sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada operasi asas kereta api, prosedur keselamatan, simulasi pemanduan, sistem kereta api serta pembangunan kemahiran insaniah sebagai persediaan memasuki industri rel.
Selepas tamat latihan, kesemua 15 peserta berjaya ditawarkan pekerjaan oleh ECRL Operation Sdn Bhd (EOSB) sebagai Penolong Pemandu Tren.
Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut Awang Samah berkata kerjasama itu membuktikan latihan kemahiran yang disusun secara terancang mampu menyediakan laluan jelas kepada peserta, bermula daripada latihan sehingga mendapat pekerjaan sebenar dalam industri.
Kejayaan itu turut memperkukuh peranan Pahang Skills sebagai antara institusi penting dalam menyediakan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi dan sektor pengangkutan rel.
Dalam program berkenaan, RHB Islamic menyumbangkan zakat berjumlah RM265,500 bagi membantu membiayai latihan peserta, manakala kos latihan turut ditaja bersama MRL dan CCCC-ECRL.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak pula berkata tenaga kerja tempatan terlatih amat diperlukan ketika projek ECRL bergerak memasuki fasa operasi.
Graduan berkenaan dijangka terlibat dalam operasi percubaan ECRL sebelum perkhidmatan komersial dimulakan.
Kejayaan itu menunjukkan Pahang Skills bukan sahaja menyediakan latihan teknikal, malah menjadi jambatan yang menghubungkan anak muda, termasuk daripada keluarga berpendapatan rendah, kepada peluang kerjaya berkemahiran dan berpendapatan lebih stabil.-JELAIPOST