BERA: Hampir 7,163 hektar Hutan Simpan Kekal Tasek Bera disyaki diteroka secara haram, dengan nilai stumpej bagi kawasan terlibat dianggarkan mencecah RM387.8 juta.
Kawasan seluas kira-kira 17,701 ekar itu dikenal pasti melalui pemetaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan semakan imej satelit Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Ia melibatkan tanaman sawit, getah, kelapa, tanaman kontan serta kawasan pembukaan baharu.
Memetik Pahang Media, Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali berkata, keluasan tersebut adalah berdasarkan pelan pemetaan kawasan yang disyaki diteroka di dalam hutan simpan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dr. Grippin Anak Akeng berkata, anggaran RM387.8 juta diperoleh dengan menggunakan kadar nilai stumpej RM55,400 sehektar bagi keluasan sekitar 7,000 hektar.
Beliau bagaimanapun menegaskan angka itu masih anggaran kasar. Nilai sebenar hanya dapat ditentukan selepas bancian terperinci dibuat di lapangan.
Kerajaan Negeri Pahang memulakan operasi penguatkuasaan bersepadu di HSK Tasek Bera pada 14 September lalu. Dengan kawasan yang disyaki diteroka mencecah ribuan hektar, operasi itu dijangka memberi gambaran lebih jelas tentang keluasan sebenar pencerobohan dan nilai hasil yang terlibat.