Berita

PAHANG PERKUKUH INDUSTRI KERBAU TENUSU, BAWA MASUK BAKA ITALIAN MEDITERRANEAN

Kongsi
PAHANG PERKUKUH INDUSTRI KERBAU TENUSU, BAWA MASUK BAKA ITALIAN MEDITERRANEAN

CREMONA: Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah memperkukuh industri kerbau tenusu menerusi penggunaan baka berkualiti, teknologi moden dan kepakaran antarabangsa.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu diperkasakan melalui lawatan kerja delegasi Pahang ke Rota Guido S.R.L. di Cremona, Itali bagi meneliti sistem pengurusan industri kerbau tenusu moden.

Menurut beliau, lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada reka bentuk ladang dan kandang, kebajikan ternakan, pemakanan, pengurusan sisa, teknologi pemerahan serta sistem pengendalian dan penyejukan susu.

Delegasi Pahang turut meneliti kesesuaian teknologi yang digunakan di Itali untuk disesuaikan dengan iklim dan keperluan operasi penternakan di Pahang, termasuk pengurusan ternakan, khidmat teknikal serta sokongan veterinar.

“Pembangunan industri kerbau tenusu di Pahang tidak boleh hanya tertumpu kepada pertambahan jumlah ternakan. Kita mesti memberi perhatian kepada kualiti baka, genetik, teknologi dan pengurusan moden bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.

Dalam lawatan sama, Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara AGK Dairy Fresh Sdn. Bhd. dengan Rota Guido S.R.L.

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada perolehan dan pembiakan kerbau tenusu baka Italian Mediterranean untuk dikembangkan di ladang AGK Dairy Fresh di Bukit Kajang, Raub.

Ia turut meliputi kerjasama teknikal, veterinar dan keperluan eksport bagi membawa masuk kerbau terpilih dari Itali ke Malaysia.

Wan Rosdy berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar membawa masuk baka baharu, sebaliknya melibatkan pemindahan genetik berkualiti, pengetahuan, teknologi dan pengalaman.

“Matlamat kita adalah membina industri kerbau tenusu Pahang yang lebih produktif, moden dan berdaya tahan.

“Insya-Allah, usaha ini akan meningkatkan produktiviti dan kualiti ternakan, memperbaiki pengeluaran susu serta membuka peluang ekonomi baharu kepada pemain industri tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan Kerajaan Negeri adalah untuk meningkatkan nilai, produktiviti dan daya saing keseluruhan industri penternakan, bukan sekadar menambah bilangan ternakan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.