KUANTAN: Projek Penternakan Ayam Bersepadu Pantai Timur dengan anggaran pelaburan RM70 juta bakal dibangunkan di Gambang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan memperkukuh kestabilan bekalan ayam di Pahang.
Pembangunan itu membabitkan kerjasama YP Agrotech Sdn Bhd, anak syarikat Yayasan Pahang, dengan Hyfresh Industries Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri ayam bersepadu.
Menurut Yayasan Pahang, projek berskala komersial tersebut akan merangkumi rantaian pengeluaran, penternakan dan pemprosesan ayam melalui sistem penternakan moden dan bersepadu.
Kerjasama berkenaan dimeterai dalam majlis tandatangan di Kuala Lumpur pagi tadi antara Pengurus Besar YP Agrotech, Zakari Shah Budin dan Ketua Kewangan Korporat Hyfresh Industries, Pua Kai Jun.
Majlis itu disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah YP Agrotech, Haji Hazmi Semadi serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang merangkap Pengarah Urusan YP Agrotech, Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Hyfresh Industries.
Yayasan Pahang memaklumkan, gabungan kepakaran kedua-dua syarikat itu menjadi langkah strategik untuk memperkukuh sektor agromakanan negeri.
Selain menyokong keterjaminan makanan, projek berkenaan dijangka merancakkan aktiviti ekonomi dalam rantaian industri penternakan dan pemprosesan ayam di Pahang.-JELAIPOST