Berita

Wan Rosdy Mahu Isu Bekalan Air, Elektrik Rumah Generasi Baharu FELDA Disegerakan

Kongsi
Wan Rosdy Mahu Isu Bekalan Air, Elektrik Rumah Generasi Baharu FELDA Disegerakan

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyambut baik usaha FELDA memperkemas proses permohonan bekalan elektrik dan air bagi rumah generasi baharu, khususnya Rumah Kedua 1 Lot.

Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi sebahagian peneroka dan generasi baharu yang telah membina serta menduduki rumah, namun masih berdepan kesukaran mendapatkan bekalan utiliti.

Menurutnya, FELDA telah mengadakan perbincangan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mencari kaedah terbaik untuk memudahkan proses kemasukan bekalan elektrik.

“Terbaharu, FELDA turut memberikan kuasa kepada Pengarah Wilayah untuk mengesahkan dan menandatangani surat sokongan kemasukan bekalan utiliti, tertakluk kepada syarat serta semakan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, perkembangan itu dijangka dapat mempercepatkan urusan rakyat dan mengurangkan kerenah birokrasi, terutama bagi permohonan yang telah memenuhi syarat serta memperoleh kelulusan sewajarnya.

Beliau turut berharap kerjasama antara FELDA, Kerajaan Negeri Pahang, pihak berkuasa tempatan dan agensi utiliti terus diperkukuh supaya setiap permohonan yang layak dapat diproses secara cepat, teratur dan telus.

“Keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik dan air mesti diberikan keutamaan. Setiap permasalahan perlu diselesaikan melalui pendekatan konstruktif, mengikut peraturan dan bidang kuasa masing-masing tanpa menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan peneroka dan generasi baharu FELDA sentiasa terbela.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.