Foto: UMNO Online
KUALA LUMPUR – UMNO sentiasa terbuka kepada usaha penyatuan politik Melayu merentasi parti dan ideologi, namun sebarang bentuk kerjasama mesti mempunyai hala tuju yang jelas, ikhlas serta berlandaskan kepentingan strategik Melayu dan Islam.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pihak yang mahu menggagaskan kesatuan Melayu, tetapi UMNO tidak mahu kembali terperangkap dalam kerjasama politik yang bersifat sementara atau hanya mengambil kesempatan terhadap kekuatan parti.
Menurut beliau, pengalaman lalu menjadikan UMNO lebih berhati-hati dalam soal kerjasama politik dan sebarang usaha penyatuan selepas ini perlu dibina berasaskan keikhlasan serta kepentingan jangka panjang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.
Mohamad turut menggariskan bahawa sebarang kerjasama politik Melayu perlu bersandarkan visi ‘Rumah Bangsa’, dengan UMNO kekal sebagai teras perjuangan dan Barisan Nasional (BN) sebagai wadah politik parti.
Pada masa sama, beliau menegaskan UMNO tidak memerlukan pembentukan perikatan politik baharu, sebaliknya sebarang persefahaman yang diwujudkan perlu bersifat fleksibel tanpa mengikat kebebasan parti menentukan strategi politiknya sendiri.
Bagaimanapun, Mohamad mengingatkan bahawa agenda memperkukuh politik Melayu tidak boleh diterjemahkan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat bukan Melayu termasuk masyarakat Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, UMNO tidak boleh melihat landskap politik negara hanya daripada sudut pengundi Melayu kerana pembentukan kerajaan turut memerlukan keyakinan dan sokongan masyarakat pelbagai kaum serta parti dari Sabah dan Sarawak.
Justeru katanya, politik Melayu perlu diurus secara matang dan bertanggungjawab supaya kekuatan politik Melayu tidak dilihat sebagai ancaman atau penafian terhadap hak serta kepentingan kaum lain.
Mohamad menegaskan UMNO mahu Melayu terus memainkan peranan sebagai bangsa teras yang menyediakan ruang dan peluang kepada seluruh rakyat, dengan matlamat membina Malaysia yang adil, bersatu padu dan makmur berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Pendekatan itu sekali gus memperlihatkan hala tuju politik UMNO yang mahu memperkukuh kembali kesatuan dan kekuatan politik Melayu, namun dalam kerangka lebih inklusif bagi memastikan kestabilan sebuah negara berbilang kaum terus dipelihara.-JELAIPOST