Politik

UMNO Kesal PH Pertikai Kuasa Pengampunan Agong

Kongsi
UMNO Kesal PH Pertikai Kuasa Pengampunan Agong

KUALA LUMPUR – UMNO kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Seri Paduka Baginda yang termaktub dengan jelas menerusi Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak sewajarnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, PH sebelum ini menyokong pengampunan yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau ketika itu belum selesai menjalani keseluruhan hukuman.

“Kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Asyraf Wajdi menegaskan, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut sebarang keputusan tertentu.

Sebaliknya, apa juga keputusan yang dibuat menerusi proses sah perlu dihormati oleh semua pihak.

Beliau berkata, pendirian terbaharu PH secara tidak langsung memperlihatkan ‘warna sebenar’ gabungan itu yang didakwa sudah beberapa kali meremehkan serta mempertikaikan institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.

Katanya, tindakan tersebut turut bertentangan dengan prinsip dan syarat yang telah dipersetujui dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“UMNO kekal teguh mendukung institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa Baginda.

“Sebarang usaha untuk menekan atau menanam prasangka buruk, sama ada secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini, merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.

Kenyataan Asyraf Wajdi dipercayai merujuk kepada pendirian Majlis Setiausaha PH bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.

Pendirian itu dikeluarkan ketika perhatian tertumpu kepada laporan bahawa Lembaga Pengampunan dijangka bermesyuarat pada Jumaat, dengan permohonan Datuk Seri Najib Razak dipercayai antara perkara yang bakal dipertimbangkan.

Bagaimanapun, kenyataan PH berkenaan tidak menyebut secara khusus nama Najib, permohonan tahanan rumah atau Lembaga Pengampunan. –JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.