Berita

Demokrasi Matang Perlu Integriti, Bukan Sekadar Undang-Undang – Wan Rosdy

Kongsi
Demokrasi Matang Perlu Integriti, Bukan Sekadar Undang-Undang – Wan Rosdy

CAMERON HIGHLANDS: Kekuatan sesebuah demokrasi tidak boleh bergantung kepada undang-undang dan peraturan semata-mata, sebaliknya perlu dibina atas asas integriti, keadilan, ketelusan dan amanah.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, nilai-nilai berkenaan penting bagi memastikan hak semua pihak terus dihormati, selain meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi demokrasi negara.

Menurut beliau, institusi legislatif yang kukuh juga memainkan peranan penting dalam memastikan sistem demokrasi terus matang, dihormati dan mampu berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat.

“Demokrasi yang kuat bukan hanya bergantung kepada undang-undang dan peraturan, tetapi turut berteraskan integriti, keadilan, ketelusan dan amanah dalam memastikan hak semua pihak dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2026 di Zenith Hotel, Cameron Highlands, semalam.

Wan Rosdy berkata, persidangan berkenaan menjadi platform penting dalam menghimpunkan kepimpinan institusi legislatif dari seluruh negara bagi memperkukuh kerjasama, berkongsi pengalaman dan memperkasakan amalan demokrasi.

Katanya, institusi legislatif perlu sentiasa diperkasakan supaya mampu memainkan peranan semak dan imbang dengan berkesan serta terus mendapat kepercayaan rakyat.

Pendekatan itu penting kerana keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran bukan sahaja bergantung kepada kekuatan institusi, tetapi turut ditentukan oleh sikap, amanah dan integriti mereka yang diberikan tanggungjawab memimpin.

Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2026 turut menghimpunkan kepimpinan legislatif dari peringkat Persekutuan dan negeri bagi membincangkan usaha memperkukuh fungsi institusi legislatif serta kerjasama antara Dewan. –JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.