KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mengangkat Muhammad Riz Haziq, lima tahun, anak Allahyarham Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, sebagai anak angkat rasmi pergerakan itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebagai langkah awal sebanyak RM36,000 akan disalurkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) atas nama kanak-kanak berkenaan.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Muhamad Akmal, sumbangan berkenaan bukan bertujuan meraih publisiti atau sekadar tanda simpati, sebaliknya menjadi komitmen keluarga besar Pemuda UMNO untuk menjaga kebajikan serta masa depan anak sahabat seperjuangan mereka.
Mohd Radzi, 40, bersama isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36; anak mereka, Muhammad Rizz Hazim, lima tahun; serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang bulan lalu.
Langkah Pemuda UMNO itu memperlihatkan semangat setiakawan dalam parti diterjemahkan melalui tindakan nyata, khususnya dalam memastikan pendidikan dan masa depan Muhammad Riz Haziq terus terbela.
Ia juga membawa nilai tersendiri kepada delegasi Pahang apabila kebajikan keluarga Allahyarham yang pernah memimpin Pemuda UMNO Bahagian Maran mendapat perhatian dan komitmen kepimpinan Pemuda di peringkat nasional.