JANDA BAIK – Tok Empat memainkan peranan penting sebagai ‘duta kecil’ kerajaan negeri di kampung dalam menyampaikan maklumat, memahami keperluan penduduk serta membawa suara rakyat kepada kepimpinan Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Aspirasi Pahang 1st, YH Dato’ Ridzuan Hazimin bin Ramli berkata, hubungan rapat dengan masyarakat menjadikan Tok Empat penghubung penting antara rakyat dengan kerajaan.
“Tok Empat perlu juga menjadi mata dan telinga kepada kerajaan serta lidah rasmi kerajaan di kampung.
”Hubungan rapat dengan masyarakat menjadikan Tok Empat penghubung penting (duta kecil) antara rakyat dengan kerajaan negeri.” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kem Mobilisasi Khas Aspirasi Pahang1st di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Bentong.
Program berkenaan menghimpunkan Tok Empat sebagai antara penggerak utama di peringkat akar umbi bagi memperkukuh penyampaian maklumat dan aspirasi kerajaan kepada masyarakat.
Menurut Ridzuan Hazimin, Tok Empat perlu terus berinteraksi dengan penduduk dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan setempat supaya keperluan serta pandangan masyarakat dapat dikemukakan kepada pucuk pimpinan untuk pertimbangan.
Beliau turut menghargai sumbangan Tok Empat dan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam menjayakan gerak kerja kerajaan di peringkat komuniti.
Katanya, ilmu yang diperoleh sepanjang kem perlu dibawa pulang dan digunakan di kawasan masing-masing, dengan khidmat kepada masyarakat menjadi keutamaan.
“Yang paling penting sekali adalah khidmat kepada masyarakat. Teruslah berbudi, teruslah berbakti,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan mengimbangi kuantiti dan kualiti program supaya kegiatan yang dilaksanakan benar-benar menyentuh hati serta memberi manfaat kepada penduduk, khususnya anak-anak kampung.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan program berkenaan pada Rabu berkata, kem itu menjadi ruang penting untuk pemimpin masyarakat bertukar pandangan dan memperkemas gerak kerja.
Katanya, pemimpin masyarakat mempunyai peranan strategik kerana berada paling dekat dengan rakyat, sekali gus menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, memahami keperluan setempat serta membantu mencari penyelesaian kepada isu di peringkat komuniti.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua, kita pastikan usaha dan pembangunan Kerajaan Negeri benar-benar sampai kepada rakyat di akar umbi selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.