Berita

Jerebu: Sekolah Di Rompin Ditutup Esok – Fadhlina Sidek

Kongsi
Jerebu: Sekolah Di Rompin Ditutup Esok – Fadhlina Sidek

KUANTAN, 8 Oktober – Sekolah di daerah Rompin ditutup esok, 9 Oktober, susulan keadaan jerebu yang menjejaskan kualiti udara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook malam ini memaklumkan, Rompin merupakan satu-satunya daerah di Pahang yang terlibat dalam penutupan tersebut.

Pengumuman itu turut melibatkan sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di Pahang, hanya daerah Rompin terlibat. Negeri lain beroperasi mengikut takwim persekolahan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rompin merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 178, iaitu pada tahap tidak sihat, setakat jam 7.10 malam ini, menurut laporan Media Selangor.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula memaklumkan sebanyak 38 kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan kualiti udara tidak sihat setakat jam 3 petang tadi, susulan cuaca kering berterusan dan pergerakan jerebu rentas sempadan.

Menurut JAS, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN mengesan 210 titik panas di Sumatera, 94 di Kalimantan dan satu di Pahang. Jerebu sederhana hingga tebal turut diperhatikan di selatan dan tengah Sumatera serta selatan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan menetapkan institusi pendidikan yang ditutup perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR), dengan mengambil kira kemampuan, akses serta keperluan murid dan kesediaan guru.

Orang ramai diminta merujuk portal APIMS atau aplikasi MyJAS EQMS bagi mendapatkan bacaan IPU rasmi serta mengelakkan pembakaran terbuka sepanjang cuaca panas dan kering.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.