Berita

Pahang Perluas Akses Al-Quran Braille, Lapan Pusat Dilengkapi Teknologi Digital

Kongsi
Pahang Perluas Akses Al-Quran Braille, Lapan Pusat Dilengkapi Teknologi Digital

KUANTAN, 9 Oktober – Usaha Kerajaan Pahang memperluas pendidikan agama kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan memasuki fasa baharu apabila lapan pusat pembelajaran Al-Quran Braille diwujudkan di seluruh negeri dengan sokongan teknologi digital.

Sebanyak 60 peranti Al-Quran eBrelle bernilai RM10,000 seunit disediakan bagi membantu golongan berkenaan mempelajari dan membaca kitab suci itu dengan lebih mudah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sabariah Saidan berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.2 juta daripada Kerajaan Negeri, merangkumi pembelian peranti, kursus dan kemudahan pembelajaran.

Menurutnya, program yang dicetuskan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kerajaan Negeri telah membeli sebanyak 60 buah Al-Quran eBrelle ini yang kita tempatkan di lapan pusat di seluruh negeri Pahang,” katanya ketika Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille Negeri Pahang di Masjid Tepian Putra, di sini, semalam.

Antara kawasan yang mempunyai kemudahan pembelajaran itu termasuk Kuantan, Lipis, Jerantut, Bera dan Temerloh, selain pusat yang melibatkan kerjasama Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).

Sabariah berkata, seramai 28 tenaga pengajar telah tersedia bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan, yang turut melibatkan pelajar daripada sekolah pendidikan khas.

Beliau menjelaskan, kemudahan itu bukan sahaja memberi peluang kepada OKU penglihatan mendalami al-Quran, malah membuka ruang kepada individu lain yang berminat mempelajari kaedah bacaan Braille.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus peserta program mencapai tahap celik al-Quran dan mampu membaca dengan lancar sebagai sasaran awal pelaksanaannya.

Inisiatif Bermula Sejak 2024

Program berkenaan merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Pahang yang mengumumkan peruntukan RM1.2 juta pada April 2024 bagi membangunkan pembelajaran Al-Quran Braille, termasuk pembelian bahan pengajaran dan latihan tenaga pengajar.

Ketika itu, kekurangan tenaga pengajar berkemahiran dikenal pasti sebagai antara cabaran utama untuk memperluas pendidikan al-Quran kepada golongan OKU penglihatan.

Pelaksanaan lapan pusat pembelajaran bersama penggunaan teknologi eBrelle kini menyediakan kemudahan yang lebih tersusun bagi membolehkan pembelajaran dijalankan di beberapa daerah tanpa tertumpu kepada satu lokasi sahaja.

Inisiatif itu turut menggabungkan aspek kebajikan, pendidikan agama dan penggunaan teknologi bagi memperluas peluang pembelajaran kepada golongan berkeperluan khas di Pahang.- JELAI POST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.