KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada jam 3.30 petang ini, dengan tumpuan terhadap langkah menangani kos sara hidup, memperkukuh ekonomi serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Pembentangan itu merupakan belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dan belanjawan kedua dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, Belanjawan 2027 disusun berasaskan tiga teras utama iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, memperbaiki taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola pentadbiran.
Menurut Kementerian Kewangan, antara bidang yang diberikan perhatian termasuk perlindungan sosial, pendidikan, kesihatan, keterjaminan makanan, transformasi digital serta pembangunan ekonomi bernilai tinggi.
Aspek bantuan bersasar dan langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup turut menjadi perhatian dalam penyediaan belanjawan berkenaan.
Bagi Pahang, pembentangan kali ini turut menjadi perhatian khususnya terhadap kemungkinan pengumuman peruntukan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas luar bandar, projek pengangkutan, tebatan banjir dan pengukuhan ekonomi negeri.
Bagaimanapun, sebarang peruntukan atau projek khusus untuk Pahang hanya dapat disahkan selepas butiran Belanjawan 2027 diumumkan.
Pembentangan belanjawan itu boleh diikuti secara langsung menerusi saluran rasmi kerajaan dan media tempatan.-JELAI POST