Berita

RM300,000 Perkasa Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st

Kongsi
Wakil Kampung Merapoh menerima hadiah johan Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st 2026.

KUANTAN: Kerajaan Pahang meningkatkan peruntukan penganjuran Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st kepada RM300,000 dari RM200,000 pada tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peningkatan peruntukan itu susulan sambutan menggalakkan serta kejayaan penganjuran sulung Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st 2026.

“Ekoran sambutan dan penganjuran yang begitu baik, saya telah menaikkan peruntukan untuk tahun depan kepada RM300,000 untuk kita buat persiapan dan penganugerahan untuk tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2026 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini.

Turut hadir, Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsudin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) PLANMalaysia, TPr. Saidin Lateh, Ketua Hakim Syarie Pahang, Dato’ Haji Abdul Walid Abu Hassan; Pengarah PLANMalaysia Pahang, Dato’ TPr. Nik Noraisu Nik Ibrahim.

Pada majlis itu, Kampung Merapoh, Lipis dinobatkan sebagai johan Anugerah Kampung Tradisi Pahang 1st dengan merangkul hadiah RM100,000 berserta piala pusingan dan sijil sekali gus diiktiraf sebagai kampung tradisi paling cemerlang di negeri ini.

Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada penduduk kampung berkenaan dan menggesa peserta yang belum berjaya supaya terus berusaha meningkatkan pencapaian masing-masing.

Menurutnya, penganjuran anugerah itu bertujuan melahirkan masyarakat kampung yang progresif, dinamik dan sentiasa mencari jalan memajukan kawasan mereka.

“Dengan adanya anugerah kampung-kampung ini, sebenarnya kita ingin melahirkan masyarakat yang berusaha, progresif, dinamik supaya mereka sentiasa memikirkan bagaimanakah untuk memajukan kampung mereka, sama ada dalam bidang ekonomi ataupun bidang-bidang lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 bagi pertandingan Kampung Bahagia pada tahun depan.

Katanya, Pahang mempunyai 1,933 kampung dan pemilihan kampung bahagia boleh dilaksanakan berdasarkan kriteria tertentu yang akan ditetapkan oleh PLANMalaysia Pahang.

“Memang saya nampak agak rumit untuk memilih, tetapi ini boleh dilakukan mengambil kira kriteria-kriteria tertentu yang akan ditetapkan oleh PLANMalaysia Pahang,” katanya.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.