KUANTAN: Pahang Orang Asli Corporation Sdn. Bhd. (ORACO) menafikan dakwaan syarikat itu diberi kuasa oleh Kerajaan Pahang untuk mengeluarkan hasil atau mengurus tanah yang dikaitkan dengan isu pencerobohan di sekitar daerah Bera.
ORACO dalam kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan mengenai kuasa untuk mentadbir, mengawal dan mengurus tanah terbabit adalah tidak benar.
Tegas kenyataan itu, mereka memandang serius penyebaran dakwaan berkenaan yang disifatkan sebagai palsu, berunsur fitnah dan tidak berasas.
Menurut ORACO, dakwaan sedemikian boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi dan nama baik syarikat.
Sehubungan itu, ORACO memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membuat atau menyebarkan dakwaan palsu berkaitan perkara tersebut.
Langkah itu termasuk memulakan prosiding mahkamah bagi menuntut ganti rugi serta mendapatkan remedi lain yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang.
ORACO turut menggesa semua pihak menyemak kesahihan maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan atau menyebarkannya kepada umum.
Masyarakat juga diminta mengelakkan spekulasi dan penyebaran dakwaan tidak berasas yang boleh mencetuskan salah faham serta menjejaskan kepentingan pihak berkaitan.
