LANCHANG: Kerajaan Pahang terus memudahkan akses masyarakat Orang Asli kepada perkhidmatan pendaftaran dan dokumen pengenalan diri menerusi Inisiatif MEKAR di Kampung Orang Asli Sungai Enggang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendaftaran serta pemilikan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan turut mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada komuniti bagi memudahkan penduduk menguruskan keperluan dokumentasi rasmi.
Beliau menyempurnakan Program Literasi Pendaftaran Melalui Inisiatif MEKAR Kampung Orang Asli Sungai Enggang Bilangan 3 Tahun 2026, di sini pada Khamis.
Kerajaan negeri melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) akan terus menyokong usaha memperkasa kesejahteraan masyarakat Orang Asli menerusi kerjasama strategik bersama agensi kerajaan.
Kerjasama itu bertujuan memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan kepada komuniti berkenaan.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, Dato’ Muhammad Olian Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Malaysia, Raja Azlal Raja Azman; serta Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Pahang, Mohammad Abdullah.
