Foto: Facebook Nizar Najib NN11’s
KUANTAN: Program Pahang Innovative Startup Accelerator (PISA) menjadi antara pemangkin penting dalam melahirkan syarikat pemula berpotensi tinggi sekali gus memperkukuh daya saing ekonomi Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Mohd Najib berkata, program itu membuka ruang kepada syarikat pemula untuk menimba pengalaman, mendapatkan bimbingan mentor serta mendalami aspek pemasaran, kewangan dan perundangan.
Menurutnya, syarikat pemula berteraskan teknologi, perkhidmatan dan model perniagaan baharu mempunyai potensi untuk berkembang dalam tempoh singkat serta membawa perubahan kepada industri sedia ada.
“Program ini turut memberi peluang kepada universiti di Pahang untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan.
“Pada masa sama, syarikat besar serta perusahaan kecil dan sederhana dapat mencuba penggunaan teknologi baharu dalam industri masing-masing, termasuk teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penutup PISA Demo Day Cohort 6.
Mohamad Nizar berkata, kewujudan lebih banyak syarikat pemula akan membolehkan Pahang meneroka bidang dan industri baharu, seterusnya membina ekonomi negeri yang lebih inovatif dan berdaya saing.
Sejak diperkenalkan oleh Yayasan Pahang dengan kerjasama Beyond4 pada 2024, seramai 99 syarikat pemula telah menyertai enam siri pelaksanaan PISA.
Program berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan ekosistem yang kondusif bagi membantu idea inovatif berkembang menjadi perniagaan berdaya maju serta mampu memberikan nilai tambah kepada ekonomi Pahang.-JELAIPOST