KUANTAN: Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) terus membuktikan kejayaannya melahirkan generasi huffaz profesional yang mampu melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti terkemuka dalam dan luar negara.
Terbaharu, alumninya, Muhammad Hafiz Farihin Afizal yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022 berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Perakaunan dan Kewangan Perniagaan di Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland.
Kejayaan itu sekali gus mencerminkan keberkesanan model pendidikan MTNP yang menggabungkan pengajian tahfiz al-Quran dengan kecemerlangan akademik serta program profesional.

MTNP dalam kenyataannya memaklumkan, ramai alumni institusi berkenaan kini meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang profesional di United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Jerman, Jepun dan Korea Selatan.
Pencapaian tersebut membuktikan pendidikan tahfiz bukan penghalang untuk pelajar melangkah jauh, malah menjadi nilai tambah dalam melahirkan golongan profesional yang berilmu, berkemahiran dan berpegang teguh kepada al-Quran.
Sebagai institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri Pahang, MTNP terus memainkan peranan penting melahirkan lebih ramai huffaz profesional yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Dalam pada itu, permohonan kemasukan Tingkatan Satu bagi sesi 2027 kini dibuka sehingga 20 September 2026.-JELAIPOST