SHAH ALAM: Pahang yang berada pada kedudukan nombor satu dalam Indeks Kebahagiaan kini menyasarkan nilai ekonominya meningkat daripada RM71 bilion kepada RM100 bilion menjelang 2030.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, sasaran itu digariskan menerusi Pelan Ekonomi Transformatif Pahang 2030 (PET2030) yang turut memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri menyasarkan gaji median Pahang melonjak daripada RM2,300 kepada RM3,300, setanding Kuala Lumpur serta negeri-negeri yang lebih maju.
“Kita mahu meningkatkan gaji median negeri Pahang. Sekarang ini gaji median Pahang ialah RM2,300.
“Kita mahu melonjakkan angka itu kepada RM3,300, setanding Kuala Lumpur atau negeri-negeri yang lebih maju,”
“Pertumbuhan ekonomi negeri perlu diterjemahkan kepada pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta peningkatan pendapatan rakyat,” katanya ketika bercakap pada sesi Town Hall Rakyat yang dihoskan pelakon Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf, di sini, pada Jumaat.
Jelasnya lagi, hanya kira-kira 21 peratus tenaga kerja di Pahang ketika ini dikategorikan sebagai pekerja berkemahiran tinggi.
Justeru, peratusan itu perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan industri dan pelaburan bernilai tinggi pada masa hadapan.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan sasaran PET2030 dapat dicapai, sekali gus membolehkan manfaat pertumbuhan ekonomi negeri dinikmati rakyat menerusi peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik.-JELAIPOST