SHAH ALAM: “Saya mahu membuktikan bahawa pemimpin generasi muda mampu menggalas amanah dengan baik apabila diberikan kepercayaan dan tanggungjawab,” kata YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang itu berkata, keyakinan tersebut perlu diterjemahkan melalui prestasi, kesungguhan dan hasil kerja yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita perlu membuktikan bahawa apabila diberikan tanggungjawab, kita mampu melaksanakannya dengan baik,” katanya dalam program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan Fikry Ibrahim.
Mohamad Nizar berkata, bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara individu yang menjadi contoh dan sumber inspirasi dalam perjalanan hidup serta kerjaya politiknya.
Selain bapanya, beliau turut menjadikan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sebagai suri teladan dalam kepimpinan.
Menurutnya, Wan Rosdy memiliki perwatakan tenang dan bersahaja, selain cekap dalam pentadbiran serta berkemahiran menguruskan kewangan negeri.
Ketokohan itu menjadikan Wan Rosdy sebagai antara contoh terbaik kepada barisan pemimpin muda yang mahu berkhidmat dan membawa Pahang terus maju.
Mohamad Nizar berkata, pengalaman kerjaya yang dimilikinya sebelum menyertai politik turut banyak membantu dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Katanya, pengalaman tersebut memberinya pendedahan dalam pengurusan, membuat keputusan serta memahami cabaran dunia pekerjaan dan pelaburan.
Gabungan pengalaman profesional, bimbingan kepimpinan dan kesediaan untuk terus belajar menjadi bekalan penting buatnya dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan negeri Pahang.-JELAIPOST