SHAH ALAM: Kecekapan Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dalam mengurus kewangan negeri menjadi antara faktor utama Pahang berjaya mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, usaha memperkukuh kewangan negeri mula diberikan perhatian serius selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurutnya, ketika Pahang berada dalam blok pembangkang di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri berdepan tekanan kewangan dan tidak boleh terus bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan.
Keadaan itu mendorong Wan Rosdy untuk menyusun strategi menyeluruh bagi meningkatkan hasil negeri serta memastikan setiap sumber diurus dengan lebih cekap.
“Tok Wan tidak mahu Pahang terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, satu rancangan menyeluruh dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dikendalikan oleh hos, Fikry Ibrahim.
Mohamad Nizar berkata, antara langkah tegas yang dilaksanakan ialah menutup ruang ketirisan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, menghentikan operasi syarikat yang tidak berprestasi serta memperkemas sistem kutipan hasil.
Kerajaan negeri turut menyemak semula kadar cukai balak yang tidak pernah dinaikkan selama lebih 30 tahun bagi memastikan Pahang memperoleh pulangan sewajarnya daripada sumber negeri.
Katanya, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil keberanian membuat keputusan, disiplin kewangan serta kecekapan pentadbiran negeri.
“Pengurusan yang baik merupakan kunci utama pentadbiran Tok Wan sehingga Pahang berjaya mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion,” katanya.-JELAIPOST