KUANTAN: Seorang pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2 di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Ashari Abu Samah berkata, polis menerima panggilan menerusi MERS 999 kira-kira jam 4.32 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara dirinya dengan teman wanitanya.
Sepasukan anggota polis kemudian dikerahkan ke lokasi dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil.
“Pemeriksaan oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Menurut Ashari, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pasukan Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Bedah siasat terhadap mangsa dijadualkan dilakukan di Jabatan Forensik HTAA hari ini bagi menentukan punca sebenar kematian.
Polis kini menjalankan siasatan menyeluruh termasuk merakam percakapan saksi dan mendapatkan laporan forensik.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian turut diminta tampil membantu polis.-JELAIPOST