KUALA LUMPUR: Jasa mereka mungkin sudah lama tercatat dalam perjalanan politik Pahang, namun sumbangan pemimpin terdahulu terus dikenang dan dihargai.
Semangat itu dibawa Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang meluangkan masa menziarahi tiga tokoh yang pernah berkhidmat dalam institusi Dewan Negeri Pahang menerusi Program Ziarah Kasih, semalam.
Mereka ialah Tuan Chow Yu Hui, Tuan Chiong Yoke Kong dan Dato’ Wan Adnan Wan Mamat yang dikunjungi di kediaman masing-masing.
Kunjungan itu menjadi medan mengeratkan silaturahim selain menghargai khidmat dan sumbangan mereka sepanjang terbabit dalam institusi Dewan Negeri serta pembangunan Pahang.
Walaupun tidak lagi berada dalam Dewan Negeri, pengalaman dan sumbangan bekas wakil rakyat tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan negeri.
Program Ziarah Kasih itu turut mencerminkan usaha Dewan Negeri Pahang untuk terus menjaga hubungan dengan pemimpin terdahulu serta menghargai jasa mereka kepada negeri dan rakyat.
Mohd Sharkar turut meluangkan masa bertanya khabar dan beramah mesra bersama ketiga-tiga tokoh berkenaan dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra.
Program berkenaan sekali gus menjadi wadah menghubungkan kepimpinan semasa dengan pemimpin terdahulu yang pernah mencurahkan khidmat kepada Pahang.-JELAI POST