Berita

ORACO Sumbang Tujuh Smartboard, Perkasa Pendidikan Digital Murid Orang Asli

Kongsi
ORACO Sumbang Tujuh Smartboard, Perkasa Pendidikan Digital Murid Orang Asli

BERA: Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) akan menyumbangkan tujuh unit smartboard kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar dalam usaha memperkasa pendidikan digital bagi murid Orang Asli di daerah ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ORACO, YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, sumbangan itu bagi menyokong pembangunan SK Iskandar sebagai sekolah digital, selaras dengan keperluan pendidikan semasa dan perkembangan teknologi pembelajaran.

Menurutnya, kemudahan tersebut dijangka dapat mewujudkan suasana pembelajaran lebih interaktif dan inovatif, selain memperluas akses murid Orang Asli kepada kaedah pembelajaran berasaskan teknologi.

ORACO turut menyumbangkan peralatan sukan kriket untuk kegunaan murid sekolah berkenaan sebagai usaha menggalakkan penglibatan aktif dalam sukan serta mencungkil bakat mereka.

Beliau mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi Pengarah Pendidikan Pahang ke Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) Daerah Bera Tahun 2026 di SK Iskandar, semalam.

Program berkenaan dirasmikan Pengarah Pendidikan Pahang, YH Dato’ Haji Ahmad Zamri Md Isa dan turut dihadiri kepimpinan masyarakat Orang Asli setempat.

Sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang menerusi ORACO dalam memastikan anak-anak Orang Asli tidak ketinggalan daripada arus pendidikan digital, di samping diberi ruang mengembangkan potensi dalam bidang akademik dan sukan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.