KUANTAN: Kedudukan kewangan Pahang terus menunjukkan momentum positif apabila kutipan hasil negeri kini mencecah RM950 juta, manakala YP Commercial Centre (YPCC) yang dilancarkan hari ini dijangka menjana hasil sewaan sekitar RM4.8 juta setahun kepada Yayasan Pahang.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian hasil semasa itu memberi keyakinan bahawa Pahang berada di landasan kukuh untuk sekali lagi melepasi kutipan RM1 bilion tahun ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan YP Commercial Centre di Tanjung Lumpur, Kuantan, hari ini.
Pahang sebelum ini menetapkan sasaran hasil sebanyak RM1.279 bilion bagi tahun 2026, manakala sehingga 26 Ogos lalu kutipan yang direkodkan ialah RM921.72 juta.
Peningkatan kepada RM950 juta pada awal September menunjukkan kutipan hasil negeri terus berkembang ketika masih berbaki kira-kira empat bulan sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.
Sekiranya momentum itu dapat dikekalkan, Pahang berpotensi mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tahun kelima berturut-turut sejak 2022.
Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran YPCC turut membuka ruang kepada Yayasan Pahang memperkukuh sumber pendapatannya melalui aktiviti komersial dan penyewaan premis.
YPCC merangkumi tiga lokasi utama iaitu di Tanjung Lumpur, Bandar Indera Mahkota dan Kuantan.
Bagi YPCC Tanjung Lumpur, pembangunan itu melibatkan kawasan seluas 24.8 ekar dengan ruang boleh disewa berkeluasan 232,889 kaki persegi, merangkumi zon komersial, automotif dan RIMBUN.
Hasil sewaan daripada keseluruhan pusat komersial itu dianggarkan mampu memberikan pulangan langsung sekitar RM4.8 juta setahun kepada Yayasan Pahang.
Wan Rosdy berkata, pengukuhan hasil negeri dan pendapatan agensi berkaitan penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kapasiti kewangan yang lebih baik untuk meneruskan pembangunan, meningkatkan kemudahan awam serta menyalurkan pelbagai manfaat kepada rakyat.
Prestasi kewangan yang semakin kukuh itu turut menjadi asas kepada kesinambungan agenda pembangunan negeri di bawah Aspirasi Pahang 1st.-JELAIPOST