Foto: Facebook Wan Rosdy Wan Ismail
PAHANG – Kerajaan Negeri Pahang akan terus komited membantu anak-anak Pahang mengejar pendidikan dan merealisasikan cita-cita melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat mengikut tahap serta keperluan pelajar.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendidikan merupakan asas penting dalam melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing untuk memacu kemajuan negeri pada masa hadapan.
Beliau berkata demikian ketika bersama 1,227 pelajar dalam Seminar Aspirasi Pahang 1st Matrikulasi di Kolej Matrikulasi Pahang.
Menurutnya, semangat, kesungguhan dan impian yang dipamerkan para pelajar memberi keyakinan bahawa masa depan Pahang berada pada landasan yang baik.

“Anak-anak inilah yang bakal mencorak, memimpin dan membawa Pahang serta negara kita ke arah yang lebih maju, makmur dan cemerlang,” katanya.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri Pahang akan meneruskan usaha memperkasa pendidikan menerusi Inisiatif Makmur Pahang (IMP) 2026, termasuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar.
Katanya, sokongan berterusan itu penting bagi memastikan anak-anak Pahang mendapat peluang sewajarnya untuk melanjutkan pelajaran, membina masa depan dan menyumbang kembali kepada pembangunan negeri.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Shahar bin Abdullah, EXCO Pertanian Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak serta Ybhg. Dato’ Sri Shahaniza binti Shamsuddin, selain mendapat kerjasama Kolej Matrikulasi Pahang sebagai rakan strategik.-JELAIPOST