Politik

BERSATU beri lampu hijau dua ADUN sokong Wan Rosdy – Ahmad Faizal

Kongsi
BERSATU beri lampu hijau dua ADUN sokong Wan Rosdy – Ahmad Faizal

KUANTAN — BERSATU memberi lampu hijau kepada dua wakil rakyatnya di Pahang untuk terus menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri ke-16.

Sokongan itu membabitkan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus, yang sebelum ini menyatakan pendirian menyebelahi pentadbiran negeri.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata langkah tersebut bukan dibuat secara bersendirian kerana kedua-dua ADUN terlebih dahulu merujuk perkara itu kepada kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya, Biro Politik BERSATU yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah meneliti keputusan berkenaan dan bersetuju ia wajar diteruskan.

Katanya, pertimbangan utama ialah memastikan suasana politik Pahang tidak bergolak, selain memberi ruang kepada kedua-dua wakil rakyat berkenaan menjaga kepentingan penduduk di kawasan masing-masing.

Sokongan itu dimuktamadkan menerusi satu perjanjian persefahaman antara Wan Rosdy dengan Jasri dan Mohd Yazid.

Sebelum itu, ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, keputusan itu dibuat demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat di kawasan masing-masing terus terpelihara.

Menerusi kenyataan bersama pada Rabu, mereka menegaskan pendirian itu telah mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan dicapai melalui muafakat bersama Wan Rosdy.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi. Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 17 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) lapan kerusi, menjadikan gabungan kerajaan negeri menguasai 25 kerusi.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.