KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO bukan sekadar barisan pelapis, sebaliknya kekal sebagai tenaga penggerak, benteng perjuangan dan harapan masa depan parti.
Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sayap itu terus berdiri teguh sepanjang 77 tahun meredah perubahan zaman, mendepani pelbagai cabaran serta menggalas amanah perjuangan.
Menurut beliau, Pemuda UMNO mempunyai tanggungjawab besar untuk menyuntik keberanian, menyuarakan denyut nadi generasi muda dan memastikan perjuangan parti terus relevan.
“Teruskan melangkah dengan berani. Jangan gentar pada cabaran dan jangan luntur semangat perjuangan.
“Di tangan Pemuda, ada kekuatan untuk bangkit. Di bahu Pemuda, ada amanah untuk meneruskan perjuangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Wan Rosdy berkata, darah muda perlu terus menyala, semangat juang mesti sentiasa membara dan perjuangan UMNO perlu terus mara.
Beliau turut mengucapkan selamat ulang tahun ke-77 kepada seluruh kepimpinan dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO.
“Bersatu. Bersetia. Berkhidmat,” katanya.