KUANTAN, 12 Oktober – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM1.5 juta bagi membuka Rumah Ngaji Pahang 1st di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha memperkukuh pendidikan Al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Pahang 1st, Dato’ Sri Shahaniza Haji Shamsuddin berkata, inisiatif di bawah Aspirasi Pahang 1st itu mendapat kelulusan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan telah dibincangkan bersama pihak pengurusan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dalam satu mesyuarat penyelarasan hari ini.
Beliau berkata, MTNP akan bertanggungjawab mengendalikan program berkenaan menggunakan modul khas yang dibangunkan sendiri bagi memastikan pembelajaran Al-Quran dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Harapan saya, Rumah Ngaji ini bukan sekadar menjadi tempat belajar membaca Al-Quran, tetapi juga menjadi ruang masyarakat setempat mendalami ilmu, membina akhlak dan mengeratkan ukhuwah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Shahaniza berkata, usaha berkenaan diharap dapat melahirkan generasi celik Al-Quran, selain memperluas akses pendidikan agama kepada masyarakat di seluruh negeri.
“Kita mahu Al-Quran terus hidup dalam rumah-rumah kita, dekat di hati anak-anak dan menjadi panduan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Pelaksanaan Rumah Ngaji Pahang 1st turut membuka ruang kepada masyarakat setempat menjadikan pusat berkenaan sebagai tempat pembelajaran, penghayatan ilmu serta pengukuhan hubungan komuniti.
Program itu merupakan antara inisiatif Aspirasi Pahang 1st yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan menerusi pendidikan agama dan pembentukan akhlak masyarakat.-JELAIPOST