KUANTAN, 12 Oktober – Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah menyandang gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang yang ke-10 sebelum menerajui pentadbiran negara.
Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini yang memetik titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam kolum Bisikan Puteri terbitan Utusan Malaysia.
Menerusi rencana bertajuk Syahbandar yang Menjadi Perdana Menteri, baginda menyingkap sejarah perjalanan hidup Tun Abdul Razak yang bermula dalam tradisi kepimpinan negeri Pahang sehingga muncul sebagai tokoh penting dalam sejarah pentadbiran negara.
“Tun Abdul Razak sendiri ialah Orang Kaya Indera Shahbandar yang kesepuluh. Shahbandar itu telah menjadi Perdana Menteri.
“Kesedaran itu amat menyentuh hati saya. Seorang anak Pahang telah membawa didikan, pengalaman dan kefahamannya tentang tanggungjawab untuk berkhidmat kepada seluruh negara,” titah baginda.
Menariknya, gelaran berkenaan turut disandang oleh dua generasi berikutnya dalam keluarga Tun Abdul Razak apabila anaknya, Datuk Seri Najib Razak menjadi Orang Kaya Indera Shahbandar ke-11, manakala cucunya, Datuk Mohamad Nizar Najib merupakan penyandang ke-12.
Najib yang juga bekas Perdana Menteri keenam Malaysia meneruskan legasi kepimpinan bapanya di peringkat nasional, sementara Mohamad Nizar kini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya dan EXCO Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Tunku Azizah, gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar merupakan salah satu jawatan dalam institusi Orang Besar Berempat Pahang yang berperanan membantu Sultan dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan negeri.
Baginda menjelaskan, gelaran berkenaan tidak diwarisi secara automatik daripada bapa kepada anak, sebaliknya pelantikan dibuat oleh Sultan Pahang berdasarkan pertimbangan terhadap amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul.
Mengimbau perjalanan kerjaya Tun Abdul Razak, baginda turut menyentuh pengalaman Allahyarham sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 1952 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 1955.
Pengalaman dalam pentadbiran negeri itu menjadi antara asas penting yang membentuk kepimpinan Tun Abdul Razak sebelum beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya Perdana Menteri Malaysia.
Tunku Azizah turut menekankan kepentingan pendidikan, pengalaman dan bimbingan dalam melahirkan pemimpin yang memahami selok-belok pentadbiran serta tanggungjawab terhadap rakyat.
Sejarah Tun Abdul Razak itu sekali gus memperlihatkan hubungan erat antara institusi pembesar tradisional Pahang dengan perkembangan kepimpinan negara, termasuk kesinambungan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar dalam tiga generasi keluarganya.