Berita

40 unit PR1MA Kampung Lebu siap, Wan Rosdy serah kunci kepada wakil pembeli

Kongsi
40 unit PR1MA Kampung Lebu siap, Wan Rosdy serah kunci kepada wakil pembeli

BENTONG, 7 Oktober – Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan secara simbolik kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Kampung Lebu Fasa 1 kepada tiga wakil pembeli di Majlis Perbandaran Bentong, pagi ini.

Projek yang melibatkan 40 unit rumah itu telah siap dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 30 Jun lalu.

Wan Rosdy berharap rumah berkenaan menjadi kediaman yang selesa serta membuka lembaran baharu buat pemilik dan keluarga masing-masing.

”40 unit rumah itu telah siap dan memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 30 Jun lalu,

“Mudah-mudahan rumah yang diterima ini menjadi kediaman yang selesa dan permulaan kepada kehidupan yang lebih baik buat para pemilik serta keluarga masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan Facebooknya, pada Rabu.

Penyerahan kunci itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan skim perumahan negeri bagi membantu rakyat memiliki kediaman sendiri.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Dato’ Sri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan subsidi perumahan berjumlah RM2.7 bilion melalui pelbagai skim, termasuk PR1MA Pahang, Rumah Makmur dan Program Residensi Rakyat (PRR).

Dalam penjelasannya pada persidangan Dewan Negeri, 11 Disember 2025, beliau memberikan contoh rumah di bawah skim PR1MA Pahang yang dijual pada harga RM150,000 berbanding nilai sebenar RM400,000, selepas subsidi RM250,000 seunit.

Kerajaan negeri turut mengurangkan bayaran premium tanah bagi pembangunan PR1MA Pahang melalui subsidi RM10,000 daripada kadar RM12,000 bagi setiap lot.

Menurut Fakhruddin, sehingga Disember 2025, Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) telah menyiapkan 28,771 unit rumah di seluruh negeri dengan nilai pembangunan RM2.1 bilion.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.