Berita

Pahang Go Raih Anugerah OpenGov Asia, Wan Rosdy Mahu Perkhidmatan Digital Terus Diperkasa

Kongsi
Pahang Go Raih Anugerah OpenGov Asia, Wan Rosdy Mahu Perkhidmatan Digital Terus Diperkasa

KUANTAN: Pahang Go menerima OpenGov Asia Recognition of Excellence Award 2026, sekali gus mengiktiraf usahanya memacu transformasi digital dan memudahkan urusan rakyat Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengiktirafan itu menghargai pencapaian Pahang Go dalam menyediakan perkhidmatan digital yang lebih inovatif, mudah diakses dan efisien.

Anugerah berkenaan diterima sempena 11th Annual Malaysia OpenGov CXO Leadership Forum di Sofitel Kuala Lumpur Damansara pada 6 Oktober, semalam.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pendigitalan bukan sekadar soal teknologi, tetapi bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri,”

“Syabas dan tahniah kepada Pahang Go atas kejayaan berkenaan, katanya dalam satu kenyataan Facebooknya, pada Rabu.

Beliau berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin untuk Pahang Go terus memperkasa inovasi serta menghadirkan perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat.

“Tahniah Pahang Go! Teruskan kecemerlangan dan teruskan mendahulukan rakyat,” katanya lagi.

Forum tahunan anjuran OpenGov Asia itu menghimpunkan pemimpin sektor awam, pembuat dasar dan peneraju teknologi bagi membincangkan perkembangan serta hala tuju pendigitalan.

Edisi ke-11 memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), teknologi awan, keselamatan siber, analisis data dan transformasi digital.

Penerima Recognition of Excellence Awards pula dinilai oleh panel pakar digital berdasarkan enam aspek utama, iaitu inovasi, penggunaan teknologi, fleksibiliti dan ketangkasan, transformasi, keterangkuman serta wawasan masa hadapan.

Pengiktirafan itu memberi perhatian kepada inisiatif berasaskan teknologi yang direka untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat atau pelanggan.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.