Berita

Pahang beri perhatian serius pengurusan sumber hutan

Kongsi
Pahang beri perhatian serius pengurusan sumber hutan

BENTONG: Kerajaan Pahang terus memberi perhatian serius terhadap pengurusan sumber hutan bagi memastikan kepentingan ekonomi negeri seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perubahan iklim, cuaca ekstrem, kebakaran hutan dan kehilangan biodiversiti memerlukan pendekatan pengurusan yang lebih berkesan.

Menurutnya, penyelidikan dan inovasi perlu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar bagi menangani cabaran tersebut.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian International Conference on Tropical Forest Management and Sustainability (Tropforest 2026) di Swiss Garden Hotel, Genting Highlands pada 6 Oktober.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.

Wan Rosdy turut menyeru penyelidik supaya membawa hasil kajian ke lapangan untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pengurus hutan.

Pengurusan hutan Pahang berlandaskan prinsip Pengurusan Hutan Secara Mampan (SFM), dengan penekanan terhadap integriti, pemantauan berterusan dan keputusan berasaskan sains.

Teknologi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS), LiDAR serta kecerdasan buatan (AI) dikenal pasti berpotensi memperkukuh pemantauan dan perancangan sumber hutan.

Dalam pasa itu, kerajaan negeri turut melaksanakan usaha penghutanan semula bagi memulihkan kawasan tidak berhutan atau terosot akibat bencana alam dan penerokaan untuk pembangunan.

Pada 29 Januari 2024, Wan Rosdy merasmikan projek penghutanan semula di Hutan Simpan Tersang, Raub, dengan menekankan keperluan mempergiat pemeliharaan dan pemuliharaan hutan negeri.-JELAIPOST

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.