KUANTAN: UMNO Pahang menzahirkan rasa syukur atas keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang diumumkan hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda dalam perkara berkenaan.
Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang atas segala doa, keprihatinan dan usaha Baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut.
Menurut Wan Rosdy, segala perhatian dan keprihatinan Sultan Pahang amat dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh UMNO Pahang dengan penuh rasa hormat serta kesyukuran.
“Sesungguhnya, perkembangan ini membawa kelegaan yang amat besar kepada Dato’ Sri Najib dan keluarga, serta disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh keluarga besar UMNO Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, UMNO Pahang turut menyambut baik pengumuman Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan Tabung Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta.
Wan Rosdy berkata, UMNO Pahang akan turut memberikan sumbangan kepada tabung berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap inisiatif tersebut.
Pada masa sama, ahli-ahli UMNO di seluruh Pahang yang mahu menyumbang dialu-alukan berbuat demikian secara sukarela dan seikhlas hati melalui UMNO Bahagian masing-masing.
Beliau menegaskan segala urusan kutipan dan penyaluran sumbangan perlu dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Wan Rosdy turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Pahang supaya menyambut perkembangan itu dengan penuh kesyukuran, menjaga adab dalam setiap ungkapan serta terus menghormati segala proses yang ditetapkan.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta memelihara keamanan, kestabilan dan keharmonian negara yang kita cintai, kata Wan Rosdy lagi. -JELAIPOST