Berita

UMNO Lancar Tabung Bantu Bayar Denda RM50 Juta

Kongsi
UMNO Lancar Tabung Bantu Bayar Denda RM50 Juta

KUALA LUMPUR: UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, dalam satu kenyataan hari ini berkata, parti itu merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Seri Paduka Baginda.

Keputusan pengampunan bersyarat itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, hari ini. Ia tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat lain yang ditetapkan.

Menurut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid, perkembangan berkenaan amat bermakna bukan sahaja kepada Najib dan keluarganya, malah kepada seluruh keluarga UMNO yang selama ini menaruh harapan serta mendoakan beliau.

Beliau berkata, pendirian UMNO sejak awal adalah membawa permohonan berkaitan Najib melalui saluran yang ditetapkan dengan penuh tertib dan menghormati institusi Raja, keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

Dalam perkembangan sama, UMNO mengumumkan pelancaran Tabung Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan.

Parti itu menyeru kepimpinan, ahli, penyokong serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan supaya menyumbang secara sukarela menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut menyeru seluruh ahli parti supaya menyambut perkembangan tersebut dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan.

BHEUU dalam kenyataannya memaklumkan bahawa sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat pengampunan bersyarat berkenaan, pengampunan itu boleh terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan dipaparkan. Ruangan bertanda * wajib diisi.