BARCELONA: Kerajaan Pahang akan meneliti kesesuaian model pertanian pinggir bandar di Barcelona, Sepanyol, termasuk kaedah memasarkan hasil segar terus kepada pengguna dan usaha memelihara tanah pertanian berhampiran kawasan pembangunan.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu antara tumpuan lawatan kerja beliau bersama delegasi negeri ke Masia de Can Comas di Parc Agrari del Baix Llobregat pada hari terakhir lawatan mereka ke Sepanyol.
Menurut beliau, kawasan pertanian seluas kira-kira 2,938 hektar yang merentasi 14 perbandaran itu terus dipelihara dan diurus secara tersusun walaupun terletak berhampiran kawasan metropolitan Barcelona.
“Di Masia de Can Comas, kami melihat pendekatan yang menggabungkan pertanian, penyelidikan gunaan, teknologi, pemeliharaan varieti tanaman tradisional serta pemasaran hasil pertanian segar untuk pasaran sekitar,” katanya.
Wan Rosdy berkata, delegasi Pahang turut meninjau Arboretum Can Comas yang menghimpunkan pelbagai varieti pokok buah-buahan tradisional, selain kawasan eksperimen bagi menyokong pembangunan sistem pengeluaran pertanian.
Beliau berkata, konsep pertanian yang dekat dengan pasaran pengguna membolehkan hasil seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar disalurkan kepada penduduk bandar.
“Bagi Pahang, pengalaman ini memberikan perspektif bahawa pembangunan pertanian bukan sekadar meningkatkan pengeluaran, tetapi turut melibatkan pemeliharaan tanah, teknologi, penyelidikan, pemasaran, sumber genetik dan peningkatan pendapatan petani,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan tadbir urus yang melibatkan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, petani dan pihak berkepentingan di Parc Agrari juga wajar diteliti.
Wan Rosdy berkata, kesesuaian kaedah pemasaran terus dari ladang ke pasaran, kawasan eksperimen, pemeliharaan varieti tradisional dan pertanian pinggir bandar akan dinilai berdasarkan potensi Pahang.
Lawatan ke Barcelona itu menyusul tinjauan delegasi Pahang terhadap industri penternakan kerbau tenusu di Itali serta industri perikanan dan pemprosesan hasil laut di Vigo, Sepanyol.-JELAIPOST